Khamis, 10 Mac 2011

Perkembangan Terkini

Sahabat Blogger sekelian..

Alhamdulillah syukur ke hadarat Allah SWT di atas limpah kurnianya kerana kita masih bernafas di dunia Allah pada hari ini. Saya juga turut bersyukur pada Allah SWT kerana proses pengurusan dokumen SPKM dan passport telahpun selesai. Pada hari ini permohonan nota diplomatik telah pun diuruskan dan insya-Allah hari selasa atau rabu minggu depan dokumen tersebut akan siap dan diterima. Proses seterusnya akan bersambung pada minggu depan dengan membuat permohonan visa di pejabat perwakilan United Kingdom di Kuala Lumpur. Insya-Allah mungkin akhir bulan ini akan terbang ke sana. Oleh yang demikian diharapkan semuanya akan berjalan lancar dan kepada para pelajar di UK, insya-Allah kita akan bertemu pada sedikit masa nanti.

Rabu, 9 Februari 2011

Cabaran pegawai MSD di Kaherah Mesir

Shukur alhamdulillah, pihak kerajaan telah mengambil inisiatif yang sangat bermakna buat para pelajar Malaysia di Mesir dengan membawa pulang mereka ke tanah air tanpa dikenakan sebarang bayaran. Syabas dan terima kasih diucapkan sekali lagi kepada kerajaan Malaysia. Pergolakan politik yang berlaku di negara tersebut menuntut kita agar lebih mensyukuri betapa bertuahnya negara kita yang aman dan makmur walaupun terdiri dari pelbagai bangsa dan agama. Ayuh kita kekalkan semangat ini. Sebarang ancaman terhadap keamanan di negara ini harus dibenteras tanpa mengira ideologi, perkauman dan sebagainya. Saya sebagai bakal atese pendidikan berasa sangat bangga terhadap para petugas dan pegawai yang bertungkus lumus menguruskan kebajikan pelajar kita walaupun dihimpit kurang rehat, diancam keselamatan dan pelbagai lagi cabaran yang dihadapi mereka. Ucapan syabas juga saya rakamkan kepada rakan saya En. Aswandi yang bertugas di MSD Kaherah walaupun diberitakan telah diacukan pistol di dadanya oleh penunjuk perasaan sewaktu dalam perjalanan menghantar barang makanan kepada pelajar yang terperangkap di rumah mereka. Ancaman keselamatan melibatkan nyawa merupakan dugaan yang sangat berat yang dipikul oleh En. Aswandi secara khususnya dan kepada para petugas Malaysia di Mesir amnya. Mereka menunjukkan iltizam yang tinggi terhadap tugas dan amanah yang dipikul oleh mereka. Bagi pihak diri saya, saya rasakan sangat berbangga mempunyai rakan sebegitu dan menjadi dorongan kepada saya untuk bertugas dengan lebih berani dan cemerlang lagi.

Jadikanlah contoh keberanian Rasulullah SAW ketika di medan perang melalui hadithnya:

Hadis Anas bin Malik r. a katanya: Rasulullah s.a.w adalah seorang yang paling baik, dermawan dan berani. Pernah pada suatu malam penduduk Madinah dikejutkan oleh suara yang kuat. Orang ramai kemudiannya berangkat menuju ke arah suara tersebut lalu berjumpa Rasulullah s.a.w, ketika itu baginda baru sahaja pulang dari tempat suara tersebut. Baginda telah mendahului mereka pergi ke arah suara tersebut. Pada waktu itu baginda menaiki kuda kepunyaan Abu Talhah. Di leher kuda itu, terdapat sebilah pedang. Kemudian baginda bersabda: Kamu tidak perlu takut, kamu tidak perlu takut. Anas berkata: Rasulullah s.a.w kembali semula ke tempat kami sepantas kilat. Anas berkata lagi: Ketika itu kuda baginda berjalan perlahan.

(Sahih Al-Bukhari, Kitab pemberian. Hadith no: 2434)

Selasa, 8 Februari 2011

Pelbagai pendapat ulama atau jumhur ulama telah bersepakat melalui dalil-dalil yang sahih, sebagaimana hadith di bawah sebagai contohnya tegahan tentang kepercayaan alam roh. Sifat manusia terutamanya umat Islam khususnya di negara kita yang sering ingin ambil tahu tentang perkara alam roh ini meyebabkan berlakunya pelbagai gambaran alam roh. Perkara ini dizahirkan dengan begitu berleluasa melalui drama dan filem. Para pengarah dan penerbit pula berlumba-lumba untuk menerbitkan cerita alam roh dan tahyul dengan anggapan boleh mendatangkan keuntungan yang berlipat kali ganda. Umat Islam di Malaysia khususnya sepatutnya lebih menekankan amal ibadat khusus dan umum melebihi dari minat mereka untuk meneroka alam roh. Pihak berwajib seharusnya memantau segala penerbitan drama dan filem bercorak alam roh ini. Janganlah dengan hanya ingin menikmati hiburan, maruah dan akidah islam dicalarkan dengan unsur gambaran jenaka tahyul, alam roh dan sebagainya.

Sabda Rasulullah SAW:

Hadis Abdullah bin Mas'ud r. a katanya: Ketika aku berjalan bersama Rasulullah s.a.w di sawah, baginda bertongkat kepada pelepah tamar. Tiba-tiba datang sekumpulan orang Yahudi, sebahagian daripada mereka berkata kepada sebahagian yang lain: Tanyalah dia tentang roh! Sebahagian lagi menyahut: Adakah kamu takut terhadapnya? Dia tidak akan melakukan sesuatu yang tidak diingini terhadap kamu. Sebahagian daripada mereka tetap berkata: Tanyalah dia! Lalu sebahagian di antara mereka berjumpa Rasulullah s.a.w dan bertanya tentang roh. Nabi s.a.w diam tidak menjawab. Pada tanggapan aku ketika itu baginda sedang menerima wahyu. Abdullah berkata: Aku tetap berdiri di situ. Setelah selesai menerima wahyu, Rasulullah s.a.w menjawab dengan membaca ayat Yang bermaksud: (Dan mereka bertanya kepadamu wahai Muhammad tentang roh. Katakanlah: Roh itu termasuk dalam urusan Tuhanku dan kamu hanya diberi sedikit sahaja ilmu pengetahuan)

(Riwayat Bukhari dalam kitab Ilmu: hadith no 122)

Isnin, 17 Januari 2011

Minggu ketiga.. di JPT KPT

Semalam, isnin (18.1.2011) saya telah menghadiri majlis amanat tahun baru 2011 yang disampaikan oleh YB Dato' Seri Mohd Khalid bin Nordin bertempat di PICC Putrajaya. Banyak input yang diperoleh. Oleh kerana saya baru saja menjejakkan kaki sebagai pegawai attachement di JPT, banyak kejutan yang dialami hasil dari pelbagai strategi yang telah dan akan dilaksanakan oleh KPT. Setelah selesai majlis, secara tidak sengaja telah terserempak dengan En. Erfino Jahari yang baru pulang dari UK dua minggu lepas. Beliau banyak menceritakan pengalamannya sepanjang berkhidmat sebagai atase di UK. Kami juga sempat bersembang dengan Dr Nazri, Ex pengarah MSD UK dan Eire yang turut sama menceritakan pengalamannya sepanjang bertugas di sana. Setelah mendengar pengalaman beliau terasa berat tanggungjawab yang akan saya terima nanti apabila bertugas di sana kelak. Pada rakan yang sudah berada di sana, marilah kita bersatu hati membentuk satu kumpulan yang bersefahaman, bekerjasama dalam memikul tanggungjawab besar ini. Harapan yang diletakkan di atas bahu kita adalah satu amanah yang sangat berat yang semestinya diharapkan oleh para pelajar di sana.

Isnin, 10 Januari 2011

Atase oh Atase..

Sudah dua minggu saya berada di KPT. Setakat ini masih tiada perkembangan dari pihak BSM tentang surat perlantikan rasmi. Terasa berdebar-debar bilakah saat itu akan muncul kerana tugasan yang besar menanti saya di sana. Apatah lagi bila menempuhi cuaca yang sangat sejuk di bumi Eropah. Walaupun saya masih setia menanti, teringat pula rakan sahabat terdahulu seperti Noraribah dan Aswandi. Mereka lebih lama menanti berbanding saya. Dua bulan mereka berada di sini. Para blogger yang mengikuti tulisan ini, doakan saya agar selamat berangkat di sana, sihat sentiasa dan selamat pulang di pangkuan keluarga nanti. Bagi rakan-rakan yang telah berada di sana, teruskan misi dan visi masing-masing dan insya-Allah saya akan menyusuli pula dalam menyahut cabaran yang sangat besar itu.