Rabu, 9 Februari 2011

Cabaran pegawai MSD di Kaherah Mesir

Shukur alhamdulillah, pihak kerajaan telah mengambil inisiatif yang sangat bermakna buat para pelajar Malaysia di Mesir dengan membawa pulang mereka ke tanah air tanpa dikenakan sebarang bayaran. Syabas dan terima kasih diucapkan sekali lagi kepada kerajaan Malaysia. Pergolakan politik yang berlaku di negara tersebut menuntut kita agar lebih mensyukuri betapa bertuahnya negara kita yang aman dan makmur walaupun terdiri dari pelbagai bangsa dan agama. Ayuh kita kekalkan semangat ini. Sebarang ancaman terhadap keamanan di negara ini harus dibenteras tanpa mengira ideologi, perkauman dan sebagainya. Saya sebagai bakal atese pendidikan berasa sangat bangga terhadap para petugas dan pegawai yang bertungkus lumus menguruskan kebajikan pelajar kita walaupun dihimpit kurang rehat, diancam keselamatan dan pelbagai lagi cabaran yang dihadapi mereka. Ucapan syabas juga saya rakamkan kepada rakan saya En. Aswandi yang bertugas di MSD Kaherah walaupun diberitakan telah diacukan pistol di dadanya oleh penunjuk perasaan sewaktu dalam perjalanan menghantar barang makanan kepada pelajar yang terperangkap di rumah mereka. Ancaman keselamatan melibatkan nyawa merupakan dugaan yang sangat berat yang dipikul oleh En. Aswandi secara khususnya dan kepada para petugas Malaysia di Mesir amnya. Mereka menunjukkan iltizam yang tinggi terhadap tugas dan amanah yang dipikul oleh mereka. Bagi pihak diri saya, saya rasakan sangat berbangga mempunyai rakan sebegitu dan menjadi dorongan kepada saya untuk bertugas dengan lebih berani dan cemerlang lagi.

Jadikanlah contoh keberanian Rasulullah SAW ketika di medan perang melalui hadithnya:

Hadis Anas bin Malik r. a katanya: Rasulullah s.a.w adalah seorang yang paling baik, dermawan dan berani. Pernah pada suatu malam penduduk Madinah dikejutkan oleh suara yang kuat. Orang ramai kemudiannya berangkat menuju ke arah suara tersebut lalu berjumpa Rasulullah s.a.w, ketika itu baginda baru sahaja pulang dari tempat suara tersebut. Baginda telah mendahului mereka pergi ke arah suara tersebut. Pada waktu itu baginda menaiki kuda kepunyaan Abu Talhah. Di leher kuda itu, terdapat sebilah pedang. Kemudian baginda bersabda: Kamu tidak perlu takut, kamu tidak perlu takut. Anas berkata: Rasulullah s.a.w kembali semula ke tempat kami sepantas kilat. Anas berkata lagi: Ketika itu kuda baginda berjalan perlahan.

(Sahih Al-Bukhari, Kitab pemberian. Hadith no: 2434)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan